Seramai 247 sarjan polis baharu yang tamat latihan kepolisan disaran jaga integriti dan tatakelola tugas dalam PDRM.

KUALA LUMPUR – Anggota polis pelatih yang baru menamatkan latihan dan bakal memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan agar menjadikan dua fokus utama sebagai landasan perkhidmatan mereka.

Fokus pertama iaitu Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Bertunjangkan Integriti dan Tata Kelola yang Baik – menuntut amalan dan pembudayaan dalam setiap tindakan dan sudut kehidupan.

Manakala fokus kedua Mendukung Dasar-Dasar Kerajaan ke arah Kesejahteraan Masyarakat dengan mengetepikan kepentingan peribadi, sebaliknya memusatkan fokus dan matlamat selaras dasar kerajaan demi kepentingan kesejahteraan masyarakat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, fokus ini penting bagi mengekang keterlibatan warga polis dengan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, elemen ini harus dijadikan benteng utama bagi mengekang keterlibatan warga Polis dengan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Sarjan Pelatih Bilangan 1 Siri 1/2023 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara pagi hari ini.

Seramai 247 sarjan pelatih berkelulusan diploma daripada personaliti sebagai orang awam bawah usia 30 tahun menjadi seorang pegawai polis menerusi latihan asas kepolisan sejak 10 September 2023.

Dalam perkembangan sama, Ramli turut menegaskan setiap pelatih memastikan elemen integriti dan kepentingan awam menjadi keutamaan dalam penugasan dan kehidupan.

“Kepatuhan terhadap elemen chain of command, hormat menghormati sesama rakan sepasukan khususnya mereka yang lebih senior, harus terus dijadikan amalan dalam tugas harian masing-masing.

“Patuhi setiap peraturan dan disiplin yang ditetapkan, sentiasa berikan komitmen yang sepenuhnya kepada masyarakat.

“Ingatlah kerjaya kepolisan ini merupakan salah satu medium jihad fisabilillah dalam mempertahankan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan ketelusan dalam menjalankan tugas akan turut dihisab dan dijanjikan keberkatan dalam kehidupan sertabalasan syurga di akhirat kelak, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Beliau pada masa yang sama merakamkan rasa kebanggaan kepada seisi keluarga para Sarjan pelatih yang membuat pengorbanan dan bimbingan sehingga dapat melahirkan seorang pegawai penguat kuasa undang-undang negara.

Menurutnya, kejayaan pada hari ini merupakan langkah permulaan dalam wadah kehidupan sebagai warga polis selain keterampilan serta personaliti penuh beristiadat ini menuntut pembawaan imej dan maruah pasukan Polis Diraja Malaysia sehingga ke akhir hayat.

“Garapan ilmu dan kemahiran asas kepolisan yang diperolehi hari ini memerlukan kelangsungan usaha dan tekad penerapan bagi memastikan penyempurnaan tugas dan tanggungjawab demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Saya yakin dan percaya para pelatih sekalian telah sedia maklum dengan tuntutan kesetiaan terhadap pasukan dan amanah yang dipertanggungjawabkan manakala setiap langkah dan tindakan perlu seiring dengan misi serta visi pasukan.

“Dalam keadaan sekarang  ditambah dengan darah muda, godaan itu memang banyak, jadi jangan sewenang-wenangnya salah guna kuasa atau amalkan rasuah dan ingat semua orang akan memerhatikan anda setiap masa,” tegasnya lagi.

Jelasnya, sarjan pelatih berkenaan adalah juga direkrut menerusi pengambilan khas hasil inisiatif PDRM untuk menambahkan tenaga dalam siasatan terutamanya dalam
jabatan-jabatan yang memerlukan misalnya Jabatan Siasatan Jenayah, JSJK, JSJN dan JSPT Bukit Aman.

“Ini akan dapat membantu sebagai penolong pegawai penyiasat yang sangat diperlukan dalam konteks sekarang ini dengan pertambahan bilangan kes-kes jenayah.

“Kesemua tenaga muda ini, selain daripada tenaga yang dia ada, yang kenaikan pangkat secara biasa ini diharapkan kita dapat menambahkan produktiviti kita secara keseluruhannya,” ujarnya.- MalaysiaGazette