Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang e-hailing yang disyaki terlibat dalam rompakan berkumpulan yang bersenjata parang ke atas dua pekerja warga Bangladesh ditangkap polis di Jalan Pandan Jaya, Ampang, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata kejadian itu menimpa mangsa dua lelaki warga Bangladesh di Jalan Pandan Jaya, 3 Mei lalu.

Katanya, polis menerima laporan daripada kedua-dua mangsa yang merupakan tukang paip bahawa mereka yang sedang bekerja didatangi empat lelaki bersenjatakan parang menaiki motorsikal pada jam 2.30 petang 3 Mei lalu.

“Siasatan mendapati suspek mengacukan parang dan merompak kedua-dua mangsa dengan melarikan wang tunai RM1000 dan dua telefon bimbit mereka.

“Bagaimanapun kedua-dua mangsa warga asing itu bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan mangsa, pada kira-kira jam 9.10 malam Rabu lalu polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya membuat tangkapan ke atas seorang remaja lelaki berumur 19 tahun di Jalan Pandan Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes yang disiasat itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sabuah telefon bimbit, sebuah motorsikal, satu topi kaledar dan sebilah parang yang disyaki digunakan semasa kejadian rompakan itu.

“Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai penunggang e-hailing dan hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah manakala semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kesalahan bersabit jenayah dan empat rekod dadah

“Siasatan lanjut polis dapati modus operandi suspek adalah menyasarkan mangsa warga asing untuk merompak secara berkumpulan dengan menggunakan motorsikal dan senjata parang.

Menurut Mohd Azam, polis kini mempergiatkan usaha untuk mengesan rakan-rakan suspek yang masih bebas.

Tambah beliau, suspek dibenarkan direman tujuh hari sehinga 12 Jun ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette