Farhan Fauzi yang mewakili Perdana Menteri menyerahkan sumbangan kepada Azman Adnan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.

Menerusi catatan dalam Facebook, Anwar berkata, sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik beliau Farhan Fauzi yang mewakilinya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar pemain bola sepak yang pernah beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar kembali sihat.

“Saudara Farhan Fauzi meneruskan rutin Ziarah Madani bagi pihak saya dengan bertemu bekas pemain bola sepak kebangsaan, saudara Azman Adnan semalam.

“Bekas penyerang sensasi Selangor kini menderita sakit tulang kaki sehingga memerlukan rawatan fisioterapi berkala selain beberapa masalah kesihatan lain yang menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat dan terputus sumber pendapatan.

“Saudara Farhan Fauzi turut menyampaikan sumbangan bagi pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan beliau. Semoga saudara Azman cepat sembuh, insya-Allah,” kata Anwar.- MalaysiaGazette