Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diringi Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Zahid Hamidi bergambar bersama pelajar-pelajar ketika hadir Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kuala Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024.

KUALA LANGAT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melibatkan pelajar mahaad tahfiz dalam Program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

Anwar berkata, tindakan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan membolehkan peluang kerjaya lebih terbuka kepada kumpulan tersebut.

“Tahniah kepada TPM kendali seluruh aspek TVET dengan bersungguh-sungguh dalam Majlis TVET Negara mencari, menerokai dan memperkenalkan beberapa program yang tidak berlaku sebelum ini.

“Kita kadang kala bimbang, merasakan pendikan asas penting dan maahad tahfiz (juga) penting. Tapi kita kadang kala bimbang selepas itu bagaimana kerja (pelajar mahaad) kerana ada keterbatasan, (jawatan) pegawai agama jumlah terbatas.

“Beliau kemuka cadangan yang cukup agresif teruskan dengan mahaat, menguasai al-Quran, menjadi hufaz tapi disamping itu menguasai bidang keterampilan tertentu dan kita beri peluang sehingga ke peringkat tertinggi sama ada jurutera, juruterbang dan sebagainya. Ini cadangan baik,” kata Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diringi Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Zahid Hamidi ketika melawat ke Tapak Pameran pada Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kuala Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan Dasar TVET 2030 sekali gus merasmikan Hari TVET Negara 2024 yang berlangsung Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang berlangsung di sini.

Selain Ahmad Zahid, turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Anwar, kerajaan kini memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelajar dan ibu bapa untuk memilih aliran pendidikan namun negara memerlukan kepakaran mereka dalam mendepani teknologi yang cepat berkembang.

Setiap pihak kata Anwar, perlu menerima kenyataan bahawa anjakan perlu dilakukan kerana Malaysia sudah maju ke satu tahap dan memerlukan kemahiran dan keterampilan termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya nak gesa, masa depan adalah milik anda. Kita hanya beri prasarana, siapkan sedaya upaya. Sukar macam mana pun, kita punya mak bapa, wang tak ada, kita cari juga, ikhtiar, sumbang dan berikan pada anak-anak.

“Anak-anak yang memilih bidang pertukangan, automotif, mekanik dan sekarang ini perkembangan AI harus disalurkan lebih awal tapi tidak meninggalkan pendidikan asas,” tegas Anwar.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mencadangkan untuk diadakan lebih banyak segmen khusus termasuk TVET Tahfiz.

Media sebelum ni melaporkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengambil lapan lagi maahad tahfiz di negara ini sebagai “anak angkat” untuk pelaksanaan TVET.

Ahmad Zahid berkata, sehingga kini terdapat 1,199 maahad tahfiz dengan 250,000 pelajar di seluruh negara.-MalaysiaGazette