Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Pengerusi DAP Lim Guan Eng diminta menjelaskan apakah maksud dan tujuan penganjuran Program Permohonan dan Taklimat Kewarganegaraan tertera poster wajahnya serta pemimpin DAP lain yang tular hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjur dan pemimpin DAP yang terpampang wajah mereka pada poster program perlu memberi penjelasan segera.

Program berkenaan dijadual berlangsung di dua lokasi berbeza iaitu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan esok dan di Plaza Sentosa, Johor Bahru 30 Jun ini.

“Saya minta penganjur dan pemimpin-pemimpin DAP yang ada dalam gambar ini untuk jelaskan apakah tujuan program ini dan kenapa program penting sebegini langsung tidak melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“JPN pun sudah keluarkan kenyataan mereka tidak dilibatkan jadi saya nak tanya apakah punca dan sebabnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan poster dan kain rentang mengenai program berkenaan yang turut menggunakan gambar Guang Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan serta pemimpin DAP lain.

Ia termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Ketua Pengimbang Johor serta penyelia Program Kewarganegaraan Pulau Pinang Yeap Choon Keong.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata, isu kewarganegaraan adalah perkara serius dan seharusnya sebarang program mengenainya perlu melibatkan JPN.

“Kalau perkara sensitif ini pun tidak melibatkan agensi yang sepatutnya, (JPN) saya nak tanya pemimpin DAP apa sebabnya ini berlaku?

“Sila jawab apakah tujuannya kerana rakyat perlukan jawapan yang tuntas dan tepat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast