KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah memeriksa dan membuat penilaian segera dakwaan retakan di persimpangan bertingkat lebuh raya tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau amat memandang serius perkara itu.

“Keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya amat dititik beratkan,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi X.

Beliau mengulas perkongsian di X yang mendakwa ada keretakan di persimpangan lebuh raya berkenaan.

Ada dua gambar yang dikongsikan iaitu pada bulan April dan Jun 2024.

Gambar tersebut menunjukkan keretakan pada tiang lebuh raya berkenaan.

Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) membabitkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer (km) dari Setiawangsa ke Kerinchi.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama, iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3), dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7km, laluan tiga lorong dua hala serta tujuh persimpangan bertingkat. – MalaysiaGazette