Empat penjawat awam di sebuah PBT direman untuk siasatan rasuah oleh SPRM.

KUALA LUMPUR – Seorang timbalan pengarah dan dua anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Mereka direman tujuh hari sehingga 14 Jun ini.

Turut direman bekas anggota agensi penguat kuasa selama lima hari sehingga 12 Jun 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut sumber, suspek utama yang merupakan timbalan pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis-premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota-anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, menerusi tangkapan ini, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Katanya, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang diadakan semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette