BANGI – Jabatan Perikanan Negeri Selangor (DOF) giat meneruskan Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat siri kedua untuk mengekang ke kebanjiran populasi ikan asing yang merosakkan ekosistem perairan negara.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, pihaknya kini berada dalam fasa untuk mengemaskini dan menguatkuasakan enakmen untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melepaskan ikan pemusnah atau dikenali ikan bandar raya di sungai.
“Kami memandang serius terhadap pelepasan ikan perosak seperti spesis ikan bandar raya ini kerana mereka merupakan pemangsa utama di dalam sungai dan akan terus membiak merosakkan kelestarian alam.
“Perkara ini sudah dibawa ke mesyuarat Exco serta dilihat oleh kamar undang-undang dan harapnya dapat diselesaikan tahun ini juga,” katanya ketika majlis perasmian program itu di Denai Sungai Kebangsaan di sini hari ini.
Hal itu menurut Izham kerana habitat itu bukan sahaja memakan ikan-ikan kecil tetapi juga tabiatnya yang suka menggali lubang di pinggir sungai sehingga menyebabkan keruntuhan tebing.
“Bukan itu sahaja, semakan semula berkenaan Kaedah-Kaedah Perikanan Untuk Sungai dan Akuakultur juga sedang dijalankan untuk mengawalselia aktiviti akuakultur bagi memastikan kelestarian sumber perikanan darat.
“Kami yakin penggubalan semula kedua-dua peraturan ini dapat membantu DOF dalam mengawasi kemasukan ikan asing ke dalam perairan umum dengan lebih efisien,” tambahnya.
Menurut Izham, mereka juga sedang menimbangkan pemberian insentif kepada orang yang menangkap ikan-ikan terlarang berkenaan.
Ikan bandar raya yang telah ditangkap seterusnya akan diproses untuk menjadi palet makanan ikan kecil yang boleh digunakan untuk habitat air lain.
Dalam program yang sama, sebanyak 10,000 ekor benih lampam dilepaskan ke Sungai Langat dan 737 kilogram ikan bandaraya telah berjaya ditangkap. – MalaysiaGazette
Susah kalau nak dakwa siapa yg lepaskan spesis asing dlm sungai sbb nak buktikan mcm mana, kecuali la ada video org ternampak dan sbgnya. Apa yg sepatutnya gomen buat ialah haramkan import dan jualan ikan hiasan dari spesis pleco ni di Malaysia. Skrg ni masih banyak dijual.