Fadhlina Sidek

KEPALA BATAS – Garis panduan pengendalian Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menerusi dalam bahasa Melayu mesti dipatuhi dan tidak wajar diperbesarkan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia susulan sesi libat urus berkait perkara itu merupakan proses berterusan selain mendapat reaksi sangat baik.

“Sesi libat urus penting bagi memastikan semua pihak memahami garis panduan dibawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

“Ketika ini, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang) telah sekali lagi turun dan memberikan penjelasan dengan membuat sesi libat urus dengan sekolah-sekolah (11 sekolah yang membuat bantahan) yang prosesnya berterusan untuk memahamkan (mereka) berkaitan isu garis panduan dan penegasan kita dibawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

“Ia (DLP) harus berjalan selari dan kita tidak merasa perkara ini wajar diperbesarkan kerana ia hanya soal bagaimana mahu mematuhi dan memenuhi kehendak itu berdasarkan garis panduan terbabit,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuan KPM dengan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di negeri ini bagi menyelesaikan bantahan pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam di sini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di negeri ini.

Ia susulan bantahan pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam DLP yang dijalankan di sekolah mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast