SERI ISKANDAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes ‘kontena terbang’ atau sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka yang ditahan untuk membantu siasatan kes ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion itu termasuk pegawai kastam dan ejen penghantaran (forwarding agent).
Katanya, susulan itu pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mengesan dan menyerahkan suspek yang terlibat dalam sindiket terlibat.
“Salah seorang daripada mereka ini adalah warga Singapura yang mana kita akan bekerjasama dengan negara berkenaan (untuk mendapatkan mereka bagi dibawa ke Malaysia).
“Kita memang ada kerjasama dengan Singapura melalui suatu perundangan yang mana boleh menyerahkan individu terbabit untuk membantu siasatan. Oleh itu kita tidak memerlukan permohonan ekstradisi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Teknologi Petronas (UTP), dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Naib Canselor UTP, Datuk Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari.
Dalam pada itu, Azam memberitahu, berdasarkan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan, pihaknya menemukan barangan-barangan yang tidak diisytihar palsu ke atas kontena yang dirampas.
“Setakat ini ia menunjukkan apa yang diikrarkan tidak sama seperti apa yang kita jumpa dalam kontena-kontena itu.
“Sebagai contoh, ada yang diikrarkan adalah kerusi roda, namun hasil pemeriksaan barangan berkenaan adalah bahan makanan daripada daging babi,” ujar beliau.
Pada Khamis, tujuh individu termasuk penjawat awam terlibat dalam kes kontena terbang yang di Pelabuhan Klang ditahan SPRM dalam Ops Transit pada Khamis.
SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import itu.
Sindiket berkenaan dipercayai membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). – MalaysiaGazette
aku dah kompius mana satu tugas SPRM dan mana satu tugas PDRM?kalau kes penyeludupan rasanya tugas polis…ini nampak mcm SPRM sapu bersih tugas polis….entah le…aku dah ketinggalan bas kot…mmm