Fadhlina (tengah) ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan penuh termasuk punca kejadian kemalangan bas ekspres yang membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka sehingga mengorbankan tiga individu di Lebuh Raya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah, Pahang, hari ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan menjaga kebajikan semua guru terlibat dalam nahas itu termasuk ahli keluarga mereka.

“Kita berdukacita terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru yang terbabit. Kejadian ini diperingkat KPM kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh punca kejadian.

“Pada masa sama, kita juga (menjaga) kebajikan guru-guru yang sebahagiannya (kini) ada di hospital untuk rawatan termasuk juga (kebajikan) keluarga (mereka),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya juga akan mengarahkan pasukan kaunselor untuk turun ke sekolah terbabit bagi memberi sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan murid-murid yang kehilangan guru mereka dalam insiden tersebut.

“Sekolah (akan dibuka) esok dan oleh kerana sekolah ini berlaku kehilangan guru, maka kita kerahkan kaunselor untuk turun ke sekolah ini untuk memberikan sokongan psikososial,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mangsa ketiga nahas bas meninggal dunia

Dua maut, 37 cedera insiden bas bertembung treler

Terdahulu, media melaporkan dua guru antara tiga individu terkorban selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, seramai 36 penumpang lagi dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.

Difahamkan, rombongan itu dalam perjalanan ke Terengganu sebelum terbabas dan terjunam ke bawah cerun selepas berlanggar dengan sebuah treler. – MalaysiaGazette