Status di FB rasmi Ab Rauf

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh  bersedih dengan kehilangan tiga nyawa termasuk dua guru dalam nahas sebuah bas membawa rombongan dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi.

Perkara itu diluahkannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Masjid Tanah itu menerusi status Facebook rasminya sebentar tadi.

“Masjid Tanah berduka,” tulisnya ringkas disertakan emoji sedih susulan nahas membawa 37 penumpang bersama dua pemandu menyertai rombongan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka untuk ke Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 malam semalam sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah lori treler.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan bas, Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Seorang lagi guru, Hamzah Ahmad, 60, disahkan maut ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mangsa ketiga nahas bas meninggal dunia