Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menaiki sebuah kren untuk melihat dengan lebih dekat ketika hadir melawat keadaan struktur silang yang dikatakan retak dan tular di media sosial di Lebuhraya SPE, berhampiran Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi jaminan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang didakwa retak selamat untuk digunakan.

Ini kerana tiada unsur-unsur keretakan berlaku di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan di Jalan Cheras di sini.

Katanya, ketika ini pihak-pihak yang terlibat dengan kerja-kerja pemeriksaan telah memasang trek untuk memantau kawasan yang didakwa berlaku keretakan itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika hadir melawat keadaan struktur silang yang dikatakan retak dan tular di media sosial di Lebuhraya SPE, berhampiran Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 JUN 2024

“Tiada keretakan berlaku dan saya diyakinkan oleh pakar dan jurutera bahawa lebuh raya ini tiada masalah. Tapi, kita nak lebih daripada itu, sebab itu saya mengarahkan supaya track marker (penanda trek) itu dipasang sekurang-kurang sebulan,” katanya Ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di lokasi yang didakwa berlaku keretakan itu di sini hari ini.

Semalam, Nanta Linggi mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat itu.

Katanya, keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi akaun X sebagai reaksi kepada satu hantaran berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

Tegasnya, beliau amat memandang serius terhadap perkara tersebut.

Sebelum ini tular satu perkongsian di laman X mendakwa berlaku keretakan di lebuh raya berkenaan.

Gambar yang dikatakan menunjukkan kesan ‘rekahan’ sepanjang tiang jejambat SPE itu turut ditularkan oleh pengguna platform media sosial terbabit.

Mengundang keresahan orang ramai, perkongsian pengguna laman X tersebut turut berjaya mendapat perhatian Nanta Linggi.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

Lebuh raya itu dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berterima kasih kepada netizen yang berkongsi maklumat berhubung perkara itu.

Katanya, aduan yang diterima akan diambil tindakan dengan kadar segera untuk keselamatan dan keselesaan orang ramai

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mungkin tak yakin (tahap keselamatan jalan raya) kita ada aplikasi MyJalan. Macam seperti ini, walaupun tiada keretakan tetapi netizen yang risau pada 7 haribulan itu dia ambil perhatian untuk kami (bertindak).

“Saya tak marah dengan dia tapi berterima kasih dan mengalukan pengguna beritahu kepada kami jika mereka risau tentang apa sahajalah siuasi di lebuh raya,” ujarnya. -MalaysiaGazette