Anggota trafik mengeluarkan saman ke atas kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam ops Hormat Undang-Undang hari kelima di ibu negara bermula 4 Jun lalu.- Gambar ihsan JSPT KL.

KUALA LUMPUR – Kesalahan menghalang lalu lintas kekal sebagai kesalahan tertinggi dalam Operasi Hormat Undang-undang yang dilaksanakan di ibu negara sejak dari 4 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 12,376 saman telah dikeluarkan oleh pegawai dan anggota trafik dalam tempoh lima hari sehingga Sabtu lalu.

Katanya, seramai 188 pegawai dan 2,183 anggota berpangkat rendah yang terdiri daripada petugas JSPT, jabatan dan daerah kontinjen Kuala Lumpur telah terlibat dalam 106 operasi yang dilaksanakan di ibu kota.

“Kita juga telah dibantu oleh pasukan lain iaitu dua pegawai dan 15 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dua pegawai dan 12 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan, enam anggota Jabatan Alam Sekitar dan 22 anggota Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Sepanjang lima hari pelaksanaan operasi itu iaitu dari 4 hingga 8 Jun lalu, kita mengeluarkan sebanyak 16,496 helai saman atas pelbagai kesalahan oleh pemandu kenderaan termasuk motosikal di sekitar ibu kota.

Anggota trafik mengeluarkan saman ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas dalam ops Hormat Undang-Undang hari kelima di ibu negara bermula 4 Jun lalu.Ihsan JSPT KL

“Daripada jumlah itu, sebanyak 12,376 helai saman telah dikeluarkan atas kesalahan meletakkan kenderaan sehingga menganggu lalu lintas atas alasan tiada tempat etak kereta manakala sebanyak 707 saman dikeluarkan untuk kesalahan memberhentikan kenderaan di laluan pejalan kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Sarifudin, selain itu, sebanyak 470 saman turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang tidak mempunyai lesen memandu diikuti kesalahan memiliki lesen tamat tempoh (316 saman).

Selain itu, katanya, untuk kesalahan nombor plat kenderaan yang gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan termasuk fancy sebanyak 238 helai saman dikenakan kepada pemandu dan penunggang atas jalan raya dalam operasi yang sama.

Anggota trafik mengeluarkan saman ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas dalam ops Hormat Undang-Undang hari kelima di ibu negara bermula 4 Jun lalu.Ihsan JSPT KL

Dalam operasi berkenaan, pihaknya juga mendaftarkan sebanyak 195 saman atas kesalahan tiada cermin sisi, 122 saman terhadap kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran, tidak tampal pelekat lesen P (121 saman), kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit (100 saman).

“Terdapat juga pemandu yang dikenakan saman atas kesalahan memiliki lesen tamat tempoh (73), tidak ikat topi keledar (53), sebanyak 28 saman dikeluarkan untuk kesalahan mengubahsuai kenderaan termasuk ekzos bising, berhenti di petak kuning (26), kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans (lapan saman) dan tiga saman dikeluarkan untuk kesalahan lampu brek gagal berfungsi,” ujarnya.

Tegasnya lagi, dalam operasi sama pihaknya turut membuat tangkapan seramai 34 individu dan sebanyak dua motosikal serta sebuah lori turut disita untuk tindakan lanjut.

Kesemua kes disiasat di bawah Akta Pengakutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya agar tidak membawa kesulitan kepada keselamatan pengguna lain dan tindakan akan diambil berlunaskan undang-undang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast