SERDANG – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, menjalinkan hubungan sinergi bersama mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di perkarangan Muzium Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM hari ini.
Program anjuran mahasiswa kursus Pengurusan Majlis (HSK221) UiTM bersama pelajar kursus Teknik Penghujahan (QKT2101) UPM dibawah subjek kokorikulum ini bertujuan bagi bertukar silang budaya pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.
“Ini merupakan satu kerjasama yang bagus antara kedua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam membentuk satu sinergi yang komprehensif,” kata Fasilitator kursus kokorikulum, Mohd Faisal Md Noor.
Faisal berkata, program silang budaya antara pelajar ini membolehkan mereka bertukar-tukar seni khazanah budaya dari pelbagai kaum di peringkat antarabangsa.
Beliau menambah bahawa pelajar-pelajar dari Negara Asia seperti China, India dan Myanmar dari UPM ini dapat bertukar budaya bersama pelajar tempatan seterusnya menerapkan jiwa cintakan khazanah seni masing-masing dalam kalangan golongan belia.
Majlis yang bertemakan Uni-Connect Build International Network ini memberikan impak positif dalam merencanakan silang budaya antara pelajar tempatan dan antarabangsa. – MalaysiaGazette