Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendengar keluhan pencarum yang menuntut pengeluaran bersasar bagi akaun 1 KWSP ketika demonstrasi aman di hadapan Menara KWSP, Kwasa Damansara hari ini.

KUALA LUMPUR – “Beri kami keluar duit di Akaun 1 KWSP secara bersasar, itu duit kami, kami terdesak,”.

Demikian laungan sekumpulan pencarum dalam satu demonstrasi aman di hadapan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Damansara hari ini.

Himpunan anjuran Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) diadakan bagi menuntut agar Akaun Persaraan dibenar untuk pengeluaran bersasar kepada pencarum yang tiada lagi baki di Akaun 2 (Akaun Sejahtera).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang turut hadir bersolidariti menjadi wakil menghantar tuntutan memorandum kepada pihak KWSP dengan harapan suara pencarum ditunaikan.

“Saya hadir bukan atas kapasiti politik kepartian walaupun ketika Perikatan Nasional mentadbir memang kita perjuang pengeluaran bersasar tapi itu semua kita letak tepi sebab ini hak rakyat.

“Saya akan pastikan agar tuntutan ini dibawa ke peringkat Dewan Rakyat tetapi semua perlu tahu kesukaran yang kita tempuh ialah kerajaan tidak mendengar apa yang kita suarakan,” katanya.

Dalam masa sama beliau turut menenangkan beberapa pencarum yang sebak apabila meluahkan perasaan mengenai kesukaran menghadapi peningkatan kos sara hidup hari ini.

“Saya dengar dan faham suara kalian. Sebenarnya saya yakin ramai juga dalam kalangan pimpinan Perikatan Nasional memang bersama dalam perjuangan anda. Kita akan usahakan sedaya upaya,” ujarnya.

Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum

Himpunan hampir empat jam bermula  9 pagi itu turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF).

Sebelum ini, Presiden PGIRM, Azmi Mohamad Tahir mendesak supaya pencarum yang terkesan diberi kelonggaran mengeluarkan akaun 1 KWSP kerana pemindahan akaun 2 ke akaun fleksibel hanya memberi manfaat kepada pencarum mempunyai jumlah baki tinggi.

Jelasnya, nasib pencarum kehilangan kerja dan tidak mempunyai potongan KWSP yang stabil terutama mereka tiada baki dalam akaun 2 seperti disisihkan sehingga nasib kehidupan terus melarat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PGIRM dakwa Akaun Fleksibel KWSP tak beri manfaat golongan terdesak