Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengecam tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)  yang menaikkan harga diesel yang didakwa mengorbankan kebajikan rakyat dan tidak relevan dengan Idea Inisiatif Budi Madani.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, formula ini akan menyusahkan rakyat kerana kenaikkan harga diesel akan membawa kepada peningkatan harga barangan dan keperluan asas.

“Penghapusan subsidi diesel ini hanya akan membawa keuntungan kepada PH kerana mereka yang akan menentukan jumlah peruntukkan yang sampai kepada rakyat.

“Siapa yang akan tanggung? Semestinya rakyat bawahan dan bukan golongan T20 dan warga asing seperti yang disebutkan oleh Anwar Ibrahim.

“Formula ini akan gagal seperti mana formula Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai isu kenaikan nilai mata wang ringgit dengan kadar dasar semalam,” katanya.

Dominic juga mempersoalkan semula kenyataan Anwar semasa menjadi pembangkang bahawa pemimpin yang menggunakan alasan subsidi mengenai minyak dan diesel perlu dihumban.

“Pengumuman kenaikan harga diesel B7 sebanyak RM1.20 kepada RM3.35 seliter dan B10 RM3.55 sememangnya tidak endah dengan keperitan rakyat yang hidup susah kerana kegagalan kerajaan Madani menguruskan ekonomi negara,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, Gerakan sekeras-kerasnya menolak tindakan kenaikan harga diesel dan berjanji akan sentiasa bersuara demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette