KUALA LUMPUR – Program Jiwa Baik: Sukaria-Relawan – Charity Explorace Hunt, anjuran Universiti Pendidikan Idris Hunt, telah diadakan dengan kerjasama 70 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) daripada beberapa kelab kluster sukarelawan, serta tiga orang wakil Muslim Volunteer Malaysia (MVM).
Program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara universiti dan badan bukan kerajaan (NGO), serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan khidmat masyarakat.
Pengarah program dari Kelab Rakan Alam Sekitar UPSI, Muhammad Nor Hafizi Saleh, berkata, program itu merupakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan alam sekitar selain memberikan pengalaman berharga kepada semua mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Melalui aktiviti seperti membersihkan rumah warga emas, memberi sokongan moral kepada golongan OKU dan memberikan sumbangan barang keperluan, para peserta bukan sahaja belajar tentang pentingnya membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga memahami kesan positif yang boleh mereka bawa kepada komuniti,” katanya.
Penasihat Kelab Rakan Alam Sekitar UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid, menekankan kepentingan menjalankan aktiviti sukarelawan secara berkala dalam membentuk jati diri mahasiswa yang mampu memberi bantuan tanpa dipaksa.
“Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, atau angin ribut seringkali memberi kesan buruk kepada masyarakat setempat, dan pada waktu inilah semangat sukarelawan menjadi penting.
“Mahasiswa yang bersemangat akan sentiasa peka terhadap masalah sekeliling dan bersedia untuk memberi sokongan kepada mereka yang terkesan.
“Dengan demikian, negara Malaysia akan memiliki rakyat yang komited dalam budaya gotong-royong dan tolong-menolong, meningkatkan solidariti di kalangan masyarakat,” katanya.
UPSI akan terus komited melestarikan budaya cintakan alam sekitar melalui program-program sukarelawan yang berimpak tinggi untuk membentuk jati diri mahasiswa yang prihatin terhadap kehidupan indah flora dan fauna.- MalaysiaGazette