Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing memberi sebanyak RM535 juta ekuiti di Bursa Malaysia selepas melakukan jualan bersih pada minggu sebelumnya.

Dagangan minggu lalu pendek susulan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.

Pelabur asing bersih membeli RM253.7 juta pada Selasa, Khamis (RM163.6 juta) dan Jumaat (RM186.8 juta).

MIDF Research berkata, pelabur asing melupuskan dana sebanyak RM69.1 juta pada hari Rabu.

Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah utiliti (RM167.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM134.5 juta), dan teknologi (RM115.7 juta).

Manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perladangan (-RM108.2 juta), telekomunikasi & media (-RM32.1 juta), dan tenaga (-RM22.4 juta).

Sebaliknya, institusi tempatan kembali kepada jualan bersih pada – RM293.5 juta selepas belian bersih seketika minggu sebelumnya.

Pelabur runcit kembali kepada jualan bersih semula, melupuskan ekuiti bernilai RM242.5 juta selepas belian bersih minggu sebelum ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur runcit menjadi penjual bersih sepanjang minggu lalu.

Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot secara keseluruhan sebanyak –6.3% untuk pelabur runcit, -2.7% institusi tempatan dan –21.7% untuk pelabur asing. – MalaysiaGazette