KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara (Negara) di sini hari ini.
Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebook mengucapkan terima kasih ke atas kesudian pemimpin nombor satu negara yang menziarahinya.
”Alhamdulillah, keadaan saya beransur baik dan perlukan masa untuk pulih selepas menjalani pembedahan baru-baru ini. Buat masa kini keadaan saya masih lagi dipantau oleh doktor dan perlu banyak masa untuk berehat.
”Terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan saya sebelum. Semoga Allah memberi rahmat dan kesejahteraan kepada kita semua,” katanya.
Pada 7 Jun lalu, Wan Rosdy dilaporkan menjalankan rawatan di IJN sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh doktor.
Beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan lanjut bagi tempoh 24 jam selepas prosedur pembedahan telah berjalan dengan lancar dan yang selesai pada Jumaat.
Sementara itu, Anwar turut meluangkan masa menziarahi Tengku Datuk Muhammad Ibni Sultan Abu Bakar serta bekas pelajarnya di Yayasan Anda, Basuki Yusof ketika berkunjung ke IJN hari ini. – MalaysiaGazette