Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi sidang media berkenaan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 JUN 2024.

LUMUT – Menteri Besar Perak bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke penyelewengan penukaran status Tanah Rizab Melayu di negeri itu.

Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun setakat ini beliau masih belum menerima sebarang panggilan daripada agensi berkenaan berhubung perkara itu.

“Saya tiada masalah (untuk memberi kerjasama) jika SPRM panggil untuk saya tampil memberi keterangan (berkaitan isu Tanah Rizab Melayu).

“Saya tidak pasti tahun bila (penyelewengan penukaran status tanah itu berlaku), akan tetapi saya menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Perak bermula pada tahun 2004.

“Berhenti seketika pada tahun 2008, sebelum kembali menjawat jawatan itu bermula pada 2009 sehingga 2018.

“Jadi kalau ia berlaku dalam tempoh itu (sepanjang saya menjawat Exco) dan jika saya dipanggil, saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, dekat sini, pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan SPRM akan memanggil beberapa Exco Kerajaan Perak bagi membantu siasatan kes penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, saksi lain yang turut akan dipanggil berhubung kes sama termasuk kakitangan kerajaan yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Tindakan itu susulan penahanan seorang pengarah urusan yang disyaki memberi rasuah kepada pegawai kerajaan berkait penukaran status Tanah Rizab Melayu seluas kira-kira 650 hektar di Sitiawan, dekat Manjung, 12 tahun lalu.

Untuk rekod, ketika tahun 2012, Saarani merupakan Exco yang memegang portfolio Pembangunan luar bandar, Pembasmian kemiskinan, Perladangan dan kebajikan di bawah pentadbiran pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, Saarani mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri komited untuk menambah keluasan Tanah Rizab Melayu sedia ada di Perak.

“Kerajaan negeri memang sedang berusaha untuk menambah bilangan keluasan Tanah Rizab Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette