Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (Tengah) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Peljar & Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu (kanan) dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad (blazer hitam) bersama wakil Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dan MyFundAction di Program Pelancaran Kerjasama "Hadiah Pek Daging Korban Untukmu Gaza".

SERDANG – Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan MyFundAction untuk melancarkan Program ‘Hadiah Pek Daging Korban Untukmu Gaza’ sebagai usaha meluaskan bantuan kemanusiaan dan solidariti antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, program ini untuk memberi sokongan dan keperluan kepada rakyat Gaza sempena Aidiladha akan datang.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat memupuk amalan sedekah dan memupuk empati dalam kalangan pelajar untuk sentiasa cakna tentang isu Palestin.

“Selain itu, program ini juga merupakan kesinambungan kerjasama solidariti Palestin yang telah berlangsung antara MyFundAction dan UPM.

“Pada program yang berlangsung Oktober lepas, kolaborasi ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM32,202.14 menerusi program Solidariti UPM bersamamu Palestin,” katanya.

Seterusnya, daging-daging korban akan dimasak dan dipekkan dalam pek sedia dimakan atau ‘ready-to-eat’ yang mampu bertahan selama dua tahun.

Pelajar tahun dua Fakulti Sains Teknologi Makanan (FSTM), Nur Farzanah Abdul Fattah berkata pelancaran pek daging ini memberi peluang untuk kita menyantuni saudara kita di Gaza.

“Saya juga berharap pemberian ini akan membawa kegembiraan kepada rakyat Palestin,” ujarnya.

Kesemua pek daging dijangka akan dihantar ke Gaza pada Disember akan datang melalui jalan laut dengan kerjasama Pos Malaysia dan DRB HICOM. – MalaysiaGazette