Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Ustaz Don Daniyal tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarat-syarat tauliah seperti melanggar prinsip-prinsip utama dalam Ahli Sunnah wal Jamaah,memberi pandangan yang bertentangan dengan fatwa setempat dan menyentuh isu sensitif seperti 3R (raja, agama dan kaum).

Majlis Akademik Islami berkata, setakat kenyataan ini dikeluarkan, Ustaz Don Daniyal masih memegang tauliah di beberapa buah negeri seperti Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan lain-lain.

Oleh itu, masyarakat awam dinasihatkan tidak mudah untuk mengulas dan membawa pelbagai spekulasi mengenai perkara ini sehingga menimbulkan kritikan yang tidak ilmiah serta dilihat kurang beradab di dalam perkara-perkara keilmuan seperti ini.

Mengulas lanjut, Majlis Akademik Islami berkata, para ulama juga berpendapat harus mengambil pendapat yang lemah selagimana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Jilid5, Ms. 59, Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyah) juga Imam al-Baihaqi dalam Shuʼab al-Imam (Ahmad bin Husain al-Baihaqi, 2000, Jilid. 2, Ms, 372, Beirut: Daral-Kutub al-‘Ilmiyah) juga ramai lagi seperti Ibnu ‘Abd al-Barr dalam Madkhalal-Dalail, Imam al-Baqa’iy dalam al-Nukat al-Wafiyyah dan lainnya.

kisah mengenai pinangan Nabi Muhammad S.A.W kepada Ummu Hani’ R.A yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Sa`ib disebut dalam beberapa kitab-kitab sejarah seperti al-Tobaqat al-Kubra oleh Muhammad bin Sa’ad (Ibn Sa’ad, Jilid 8, Ms.,120, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah), Tarikh al-Tabari oleh al-Imam Abu Jaafaral-Tabari (1967, Jilid 11, Ms. 619, Kaherah: Dar al-Ma`arif), Tarikh Madinah Dimasyq (Ibnu Asakir, Ali bin Hasan, 1995, Jilid 3, Ms.243, Beirut: Dar al-Fikr), al-Isobah olehal-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (jld. 8, ms. 317), dan juga Subul al-Huda wa al-Rashadfi Sirah Khair al-‘Ibad oleh Muhammad bin Soleh al-Solihi (1993, Jilid 11, Ms. 236,Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah)

Periwayatan kisah dan sirah Nabi dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara baharu dan menjadi satu isu perlu diperbesarkan. Hal ini telah termaktub dalam diskusi, kitab serta artikel-artikel ilmiah yang boleh diakses dengan mudah seperti artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP): https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/5422-bayan-linnas-siri-ke-258-bagaimanakah-ulama-berinteraksi-dengan-riwayat-riwayat-sirah

Bahkan Syaikh Dr. Saeed al-Kamali dari Maghribi menegaskan,  periwayatan sirah Nabi S.A.W tidaklah seketat hadis dari kitab-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi, gambaran sejarah dan tidak digunakan untuk penetapan hukum hakam halal dan haram.

Oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk meriwayatkan hadis yang lemah sekalipun dalam konteks sirah ini, lebih-lebih lagi Ustaz Don Daniyal hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukan beliau.

Kisah yang diriwayatkan menerusi perawi Muhammad bin Al-Saib al-Kalbi mengenai pinangan Rasulullah S.A.W kepada Ummu Hani’ itu tidak dikritik secara khusus dengan menafikan ia tidak berlaku sama sekali atau menjadikannya bertentangan dengan kisah yang lebih sahih sebaliknya kritikan kepada perawi tersebut berlaku secara umum.

Pendekatan penilaian sesuatu sumber dalam periwayatan sirah dan kisah adalah sesuatu yang perlu dibezakan dengan menilai sumber bagi sesuatu perkara yang berkaitan dengan akidah dan hukum.

Kisah ini juga tidak merendahkan kedudukan Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang nabi dan utusan Allah yang mulia, apatah lagi ia juga berlaku sebelum kenabian Baginda.

Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah S.A.W untuk diambil menjadi isteri.

Namun ungkapan ‘first love’ yang disebut oleh beliau dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya.

Nasihatnya, para asatizah dan pendakwah perlu bersikap lebih berhati-hati dalam tutur kata serta memilih istilah yang tepat dan sesuai, supaya apa yang dilafaz tidak mudah disalahertikan oleh orang yang mendengar.

Pun begitu, jika ia sekadar ketidaktepatan pemilihan perkataan yang tidak membawa kepada kerosakan iman, maka tidak perlu sehingga membawa kepada cercaan, cacian, makian, hinaan serta tuduhan-tuduhan liar seperti penglipur lara dsb. Apatah lagi sehingga digam dari meneruskan khidmat menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat.

Tanpa menafikan andaian wujudnya kesilapan isu cabang ‘ijtihadi’ dalam penyampaian kalangan pendakwah agamawan, ianya amat tidak wajar dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh kalangan mereka yang berkepentingan untuk melakukan ‘character assassination’ (pembunuhan watak) dan melumpuhkan karier dakwah pendakwah agamawan tertentu.

Katanya, isu ini sewajarnya ditangani melalui mekanisme konstruktif secara lebih berhemah dalam kalangan agamawan dan pihak berautoriti agama, bukan melalui platform media sosial yang mendedahkan kritikan terbuka oleh masyarakat awam sehingga ke tahap mencaci tanpa adab yang dilihat selari dengan agenda pasca modenisme.

Sehubungan itu, mana-mana pihak tidak sepatutnya tunduk pada desakan netizen lebih-lebih lagi yang menggunakan akaun palsu bagi menjadikannya satu isu yang kontroversi, termasuk juga desakan dari mana-mana pihak yang bukan autoriti agama dengan kepentingan tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast