Lawatan perjumpaan sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2024 pada Hari Raya Ketiga dan Hari Raya Keempat kepada keluarga semua penghuni penjara.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2024 pada hari raya ketiga dan keempat kepada keluarga penghuni penjara.

Ia melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Menurut kenyataan Jabatan Penjara Malaysia, keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam dan perjumpaan boleh dilakukan secara bersemuka atau dalam talian (online/video call).

“Waktu lawatan secara bersemuka bermula jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan pelawat diminta membawa Kad Lawatan serta Kad Pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Pelawat juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan tidak membawa makanan atau minuman dari luar selain daripada kantin penjara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni, memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.

Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan, ujarnya.

Kaedah lawatan secara dalam talian pula akan dilaksanakan untuk tempoh tiga hari iaitu 19 Jun hingga 21 Jun 2023 bertujuan memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka. – MalaysiaGazette