KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam direman tujuh hari disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai dorongan menguruskan permohonan tanah di negeri itu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 30-an itu bermula hari ini hingga 17 Jun dikeluarkan oleh Majistret Syed Mohd Farid  Syed Ali di Mahkamah Majistret Jenayah Seremban pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut sekitar Jun 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette