Tangkap layar ciri-ciri permainan video atau gameplay Upin Ipin yang dikongsikan Les' Copaque Production

KUALA LUMPUR – Projek permainan video menerusi konsol, Upin Ipin yang dijadual siap Oktober ini semakin menjadi penantian ramai selepas beberapa klip cuplikan gameplay didedahkan.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanudin Md Radzi berkongsikan perkara itu di Facebook ketika ia diuji di pejabatnya semalam.

“Tahun lepas, kami menugaskan Streamline Inc iaitu syarikat pembikin permainan video terkenal dari Las Vegas untuk membangunkan permainan Upin Ipin berdasarkan siri kami.

“Maka hari ini, permainan Upin Ipin telah dihantar ke pejabat kami untuk diuji. Ia adalah permainan konsol yang boleh didapati di Play Station 4 dan Switch,” ujarnya dalam hantaran berkenaan.

Beliau menambah, semua kakitangan Streamline yang terlibat dalam projek itu berpangkalan di negara ini dan mereka bekerjasama secara rapat dengan pasukan Les’ Copaque bagi menjaga mutu serta kualiti terbaik.

Katanya, ia adalah permainan mesra keluarga tanpa membabitkan unsur keganasan dan sesuai untuk semua peringkat umur.

“Sementara menunggu kelulusan, kami sasar untuk melancarkannya pada suku pertama tahun depan.

“Projek ini merupakan usaha yang menarik dalam dunia permainan kerana ia berdasarkan siri televisyen popular maka kami harap ia mendapat sambutan,” katanya.

Beliau turut meletakkan impian besar agar projek yang menelan belanja RM15 juta itu akan meletakkan Malaysia dalam peta dunia permainan video selain optimis ia akan menjadi kebanggaan buat semua. – MalaysiaGazette