Pelanggan dapat menikmati diskaun RM20 bagi setiap pesanan bahagian korban yang dibuat, selain turut menjadikan ibadah korban tahun ini lebih bermakna melalui inisiatif kempen sadaqah misi bantuan Palestin

KUALA LUMPUR- Maybank Islamic Berhad melancarkan MyQurban, platform dalam talian yang menyediakan perkhidmatan kewangan digital dengan menawarkan kemudahan menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha.

MyQurban merupakan platform terbaik, khususnya bagi pelanggan yang mementingkan fleksibiliti masa dan selesa dengan perlaksanaan korban secara dalam talian.

Melalui kerjasama dengan empat pembekal korban iaitu Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM), EZQurban, Aqiqah Centre, dan Aqiqah4u, pelanggan mempunyai pilihan untuk menyertai korban di luar Malaysia dengan kos lebih mampu milik.

Ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatan pengurusan kekayaan Islamnya lebih mudah diakses dengan mendigitalkan rangkaian produk patuh Shariah hujung ke hujung secara holistik.

Antara kelebihan platform MyQurban ini adalah pelanggan dapat menikmati diskaun RM20 bagi setiap pesanan bahagian korban yang dibuat, selain turut menjadikan ibadah korban tahun ini lebih bermakna melalui inisiatif kempen sadaqah.

Dengan setiap bahagian korban yang dipesan oleh pelanggan, pihak Maybank Islamic akan memadankan sumbangan (matching contribution) tersebut dan seterusnya dana berkenaan disalurkan kepada Mercy Malaysia untuk misi kemanusiaan di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic, Datuk Muzaffar Hisham berkata, ibadah korban mempunyai pengertian yang sangat mendalam bagi umat Islam.

“Sebagai peneraju perbankan Islam di Malaysia, kami sentiasa menginovasikan perkhidmatan kami untuk memberi pelanggan kelapangan minda agar mereka dapat menyempurnakan kewajipan mereka dengan sebaik mungkin, termasuklah ibadah korban,” katanya.

Beliau menambah, Inisiatif MyQurban merupakan salah satu cabang di bawah teras penyucian harta dari sudut perancangan kekayaan Islam di Maybank Islamic.

Ia juga peringatan buat umat Islam untuk menzahirkan kesyukuran, belas kasihan serta amal jariah, di samping mengeratkan silaturahim.

MyQurban adalah salah satu solusi di bawah rangkaian penuh produk dan perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam Maybank Islamic yang merangkumi kesemua lima teras pengurusan kekayaan iaitu penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan kekayaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast