Anthony Loke

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengalu-alukan penglibatan MCA bagi membantu kempen calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Mungkin mereka telah mengubah fikiran, jadi kita alu-alukan (kempen untuk calon di PRK Sungai Bakap),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-57 di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilapor berkata parti itu berkemungkinan akan turun membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

Pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu sebelum ini, MCA berpendirian tidak akan berkempen sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast