Mohamad Sabu.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan (MoF) akan turun padang bagi memberi penerangan berhubung pemberian subsidi diesel kepada golongan petani termasuk pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia susulan terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung pemberian subsidi diesel tersebut dalam kalangan petani ketika ini.

Jelas beliau, golongan berkenaan tidak terkesan dan akan terus menikmati subsidi kerana kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar dan bukannya buang subsidi diesel itu.

“Semua penanam padi yang menggunakan diesel diberi subsidi cuma buat masa ini pendaftaran sedang berjalan dan saya yakin benda itu berlaku kekeliruan dan salah faham dalam masa sebulan dua ini sahaja.

“Kita (KPKM) dan Kementerian Kewangan akan turun padang untuk memberi penjelasan berhubung subsidi diesel itu, malah Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) sendiri sudah turun ke merata lokasi untuk memberi penjelasan.

Mohamad merasmikan Program Libat Urus beliau bersama Pemimpin Peladang Pulau Pinang sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Tasek di Nibong Tebal hari ini.

“Penerangan itu juga divideokan dan sampaikan kepada semua pihak termasuk petani, cuma sekarang ini ada sikit kekeliruan saya rasa ia sementara sahaja,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenaikan harga diesel RM3.35 kini memberi kesan kepada petani.

Terdahulu, Mohamad merasmikan Program Libat Urus beliau bersama Pemimpin Peladang Pulau Pinang sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Tasek, di sini.

Pada majlis itu, KPKM memperuntukkan sebanyak RM3.254 juta merangkumi lima projek sambungan untuk Pulau Pinang melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pemberian itu memanfaatkan enam Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh Pulau Pinang dan Pertubuhan Peladang Pulau Pinang dengan melibatkan 20,301 ahli.

ARTIKEL BERKAITAN

Kenaikan harga diesel bebankan petani – Armada

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter akan memberi kesan kepada golongan petani di negara ini, khususnya kepada penanam padi.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Asyaraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenaikan yang amat tinggi itu sememangnya dikhuatiri akan membebankan para petani.

“BUDI Agri-Komoditi seakannya mengetepikan segmen penanam padi dengan tidak memperhalusi mekanisme pemberian subsidi sekaligus menindas para pesawah dan akan menyebabkan segala hal akan ditanggung petani dalam ekosistem yang hanya memenangkan cukong (kapitalis),” katanya. – MalaysiaGazette