KEPALA BATAS – Empat suspek termasuk dua beradik wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah serta larikan barang kemas bernilai RM800,000 milik usahawan pencuci mulut, Kieda Crepe di Kepala Batas dekat sini, disambung reman.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 27 tahun itu disambung reman tiga hari lagi sehingga 14 Jun ini.
“Permohonan reman terhadap kesemua empat suspek yang masing-masing dua wanita dan dua lelaki itu tamat hari ini.
“Namun, kita telah mohon lanjutan reman daripada pihak mahkamah dan majistret benarkan tambahan reman selama tiga hari bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan barang kemas milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, kesemua suspek ini turut terlibat dalam satu kes pecah rumah di Jerantut, Pahang.
MalaysiaGazette pada 6 Jun lalu melaporkan, polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pecah masuk Kieda Crepe.
Masing-masing dua wanita dan dua lelaki berumur 20 hingga 27 tahun itu ditahan di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette