KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas 6,230 helai jersi tiruan yang dianggarkan bernilai RM450,000 dalam serbuan di empat buah premis di sekitar Jalan Petaling, di sini, pada 10 Mei lalu.
Pengarah KPDN WPKL, Ariffin Samsudin berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan sepasukan pegawai selama dua minggu.
“Hasil maklumat mendapati jersi tiruan ini diperolehi di luar negara dan dijual di sekitar Jalan Petaling kepada pelancong dan warga tempatan terutamanya pada musim Kejohanan Piala Eropah (UEFA EURO 2024) ini.
“Kami turut merampas tiga buah mesin bernilai RM15,000 yang dipercayai digunakan untuk menampal logo, nombor jersi serta nama.
“Salah sebuah premis yang dimiliki seorang warga tempatan itu juga menerima tempahan secara borong dan menyediakan perkhidmatan pos untuk mereka yang berada di luar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit Segambut, di sini, hari ini.
Difahamkan kesemua jersi tiruan yang dirampas itu akan dijual pada harga RM140 sehelai kerana mempunyai kualiti yang tinggi, ujarnya.
Menurut Ariffin, premis tersebut dipercayai telah beroperasi selama setahun dan semasa rampasan dilakukan peniaga tiada di premis.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Sementara itu, KPDN menasihati orang ramai agar tidak membeli atau menjual jersi tiruan Euro 2024.
“Mereka yang ingkar akan menerima hukuman yang berat seperti apa yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette