Murid tahun lima yang dijemur gurunya hampir tiga jam di luar kelas gemar merenung di luar tingkap rumahnya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JUN 2024

AMPANG – “Cita-cita saya nak jadi polis,” kata murid tahun lima yang tular kerana dijemur hampir tiga jam oleh gurunya di sebuah sekolah di Ampang sehingga dia mengalami strok haba dan koma.

Kata-kata dari suara halus itu membuatkan ibunya, Mogana Selvi mengalirkan air mata.

Ini kerana, anak ketiga daripada lima beradik itu kini sudah menerima surat pengesahan status orang kurang upaya (OKU) dalam pemeriksaan kesihatan dari Hospital Ampang, baru-baru ini.

Difahamkan kad OKU pula akan diterimanya dalam tempoh sebulan.

“Bayangkan, anak yang saya kandung selama sembilan bulan lahir dan membesar secara normal, tiba-tiba sahaja menjadi seorang OKU dalam sekelip mata,” katanya kepada MalaysiaGazette yang mengunjungi kediamananya di Ampang, semalam.

Lebih membingungkan hati ibu ini apabila anaknya yang yang lincah dan aktif dalam persatuan di sekolah, bahkan pernah memenangi tempat kedua dalam larian merentas desa, kini berubah seratus peratus.

Mogana Selvi bercakap kepada media ketika tinjauan Malaysia Gazette ke rumah di Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JUN 2024

“Tiada lagi suaranya di rumah ini, dia kini terlalu pendiam. Apa yang dia rasa, kesakitannya saya tidak tahu,

“Pernah sekali saya terjaga dari tidur pada tengah malam dan lihat dia tiada di samping saya. Apabila saya keluar, saya menjumpainya termenung ke luar tingkap di ruang tamu.

“Ada masa pula dia akan berlari-lari di dalam rumah dan hanya akan bertenang apabila dipeluk dan dipujuk oleh suami saya,” katanya teresak-esak dalam tangisannya.

Wanita ini berkata, dia difahamkan oleh doktor kelakuan anaknya itu adalah kesan trauma yang dialaminya.

Mogana yang sedang mengandung empat bulan dan baru keluar dari wad akibat kekurangan air dalam badan mengakui, dia sungguh tertekan mengenang nasib anaknya.

Kebimbangannya tidak pernah reda apabila melihat anaknya mempunyai tabiat kerap membasahkan kepala dengan air sambal mengatakan ‘panas ma, panas’.

Malah, Mogana berkata, anaknya itu mempunyai trauma yang ketara apabila melihat ada tetamu tertentu yang datang ke rumah untuk melawatnya.

“Dia ingat cikgu yang menjemurnya yang datang,” tambahnya.

Wartawan MalaysiaGazette yang mengunjungi kanak-kanak itu semalam sempat bertanya subjek kegemarannya di sekolah.

Aksi murid 11 tahun yang suka bersendiri ketika berada di rumahnya Ampang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JUN 2024

Dengan pantas dia menjawab: “Matematik”.

Mogana turut mendedahkan, kejadian dijemur tiga jam Ketika cuaca panas bukan pengalaman ngeri yang pertama dialami anaknya itu.

Sebaliknya, dia pernah menjadi mangsa buli sejak di tahun dua lagi.

“Anak saya pernah dicurahkan air panas di muka, kepalanya pernah dibaling kasut dan diludah oleh rakan-rakan di kelasnya.

“Tetapi apa yang hairannya, tiada seorang pun guru yang memaklumkan kepada saya dan saya hanya dapat tahu mengenai segala kejadian itu apabila dimaklumkan oleh orang luar,” ujarnya.

Mogana berkata, dia tidak dapat mengulas panjang berhubung isu anaknya itu kerana sudah menjadi kes polis dan sudah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia.

Wanita ini hanya berharap nasib malang yang menimpa anaknya mendapat keadilan.

“Saya berharap kes ini berjalan lancar dan individu yang terlibat mendapat hukuman sewajarnya.

“Saya tidak mahu apa yang terjadi ini menimpa anak atau murid lain,” kata Mogana sambil memandang sayu kepada anaknya yang baring di atas kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast