AMPANG – Sudah lebih sebulan sejak laporan dibuat namun masih tiada perkembangan daripada pihak polis berhubung kes pelajar sekolah rendah yang didenda berjemur hampir tiga jam di sebuah sekolah di Ampang.
Peguam keluarga, Dinesh Muthal berkata, sehingga kini keluarga mangsa tidak mengetahui status kes siasatan.
“Kes ini sudah lama, sejak laporan dibuat pada 30 April, sudah lebih 40 hari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumah kediaman mangsa di Ampang semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sedang menyiapkan saman sivil untuk difailkan.
“Kes ini bukan sahaja melibatkan kesalahan guru tersebut tetapi turut membabitkan pihak guru besar dan sistem sekolah berkenaan,” dakwa beliau.
Tegasnya, pada masa ini, para peguam lebih fokus untuk mengetahui perkembangan kes daripada pihak polis.
“Kami sedia memberikan salinan dokumen-dokumen kes jika diperlukan oleh pegawai penyiasat dan kami sedia membantu,” ulasnya.
Sebelum ini, tular kes seorang murid sekolah rendah yang didenda berdiri hampir tiga jam di bawah matahari terik di sebuah sekolah di Ampang, April lalu.
Akibat kejadian itu, murid tersebut telah dimasukkan ke hospital dan kini memegang status sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan perlu dimasukkan ke sekolah bekeperluan khas.- MalaysiaGazette