Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga tempatan terpaksa berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan pelaburan tidak wujud atas talian dengan nilai kerugian berjumlah RM1,205,997 pada April lepas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar Muthuvelu berkata, kes pertama melibatkan seorang peniaga berusia 57 tahun yang terpedaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian dengan melibatkan kerugian RM733,597 pada 22 April lepas.

“Menurut mangsa, dia pada mulanya telah berkenalan dengan seorang individu melalui Messenger sebelum berpindah ke aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Peniaga itu tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan dan telah menuruti segala arahan yang telah diberikan suspek sehingga akhirnya membuat bayaran ke sebuah akaun bank sebanyak RM267,000.

“Bagaimanapun, mangsa sedar dirinya telah tertipu apabila dia harus membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan RM70,000 yang konon diperolehnya dan tidak menerima sebarang pulangan sama ada dalam bentuk wang pokok atau pulangan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kumar, kes kedua pula membabitkan seorang penolong pengurus syarikat swasta berusia 41 tahun yang ditipu berkaitan pelaburan pembelian saham sebuah kolej di sebuah negara pada 3 April lepas.

“Mangsa telah memuat turun dan mendaftar aplikasi yang diberikan dengan tujuan untuk memantau pelaburan dan keuntungan yang diperolehinya. Sebelum membuat bayaran berjumlah RM472,400 ke beberapa akaun bank.

“Bagaimanapun, mangsa sedar dia tertipu apabila suspek memberikan pelbagai alasan semasa mangsa mahu mengeluarkan keuntungan sehingga akhirnya suspek gagal dihubungi,” jelasnya.

Kes akan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh menyebabkan seseorang itu dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Polis menasihati orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga sukar dipercayai. – MalaysiaGazette