Anggota Polis membuat kawalan keselamatan di pintu masuk utama balai polis bagi langkah berjaga-jaga susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor kekal ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis boleh menggunakan undang-undang tersebut untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian yang berlaku.

“Buat masa ini mereka kekal seperti diumumkan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) iaitu ditahan di bawah Sosma.

“Undang-undang itu membolehkan kita untuk guna pakai dan (untuk) maksud proses (siasatan) yang berlaku untuk membolehkan siasatan berlangsung.

“Mereka juga ada pilihan untuk membawa peguam kerana Sosma membenarkan untuk (suspek) berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Razarudin sebelum ini berkata kesemua suspek berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan semula di bawa Sosma selepas reman berakhir. 

Sosma membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Penahanan keluarga itu susulan kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu yang mengakibatkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia.

Serangan itu dilakukan seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang kemudian maut ditembak polis.

Menurut beliau, berdasarkan rekod polis, bapa suspek merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI). – MalaysiaGazette