Malaysian University FT.

KUALA LUMPUR – Kemenangan penuh bergaya yang dilakar pasukan Malaysian University FT (MUN) ke atas PDRM FC pada Rabu adalah suatu isyarat yang ingin ditampilkan pemain yang berstatus penuntut universiti ini.

Bagi pemain tengah pasukan Malaysian University iaitu Muhammad Hadi Mohamad, kemenangan yang berjaya di lakar ke atas pasukan giant killer Liga Super itu adalah bukti pemain yang berstatus penuntut universiti juga boleh mempamerkan aksi yang baik.

Tambah Hadi, ia juga adalah sebagai sebuah isyarat untuk lebih banyak pasukan di Liga Super, mula melihat kualiti pemain-pemain muda seperti ini.

“Kami ingin membuka mata pasukan Liga Super lihatlah bakat yang ada pada pemain di universiti ini” tambahnya lagi.

Walaupun pasukan PDRM FC tidak menurunkan pemain utama, namun Hadi juga menganggap ini sebagai suatu kejayaan yang boleh dibanggakan memandangkan PDRM FC adalah pasukan gergasi Liga Super juga.

‘The University Tigers’ menanti pemenang antara perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi timbal balik di peringkat suku akhir nanti.

Bagi Muhammad Zharif Nazhan yang merupakan penjaring ketiga bagi pasukan Malaysian University pula menambah, kejayaan pasukannya untuk layak ke suku akhir Piala FA ini adalah sebuah kejayaan bermakna bagi dirinya.

Baginya, jika pasukannya dapat bertemu dengan pasukan gergasi dari selatan iaitu JDT, itu akan menjadi kenangan manis yang akan dikenang selama-lamanya bagi dirinya dan rakan-rakan yang lain.

“Kalau mempunyai kesempatan untuk bertemu JDT, kita tahu mereka (JDT) adalah pasukan besar dalam bolasepak tanah air, kita akan timba lebih banyak pengalaman jika dapat bertemu mereka” ujar Zharif. – MalaysiaGazette