MAKKAH – Suami kepada jemaah haji Malaysia kelima yang meninggal dunia di Tanah Suci, Mohd Azmil Abdul Hamid menerima khabar duka mengenai kematian isterinya Zuraida Mohd Haris, sebaik selesai melakukan tawaf sunat dan selesai mendoakan pengakhiran yang baik untuk isterinya.
Mohd Azmil, 38, dari Marang, Terengganu berkata sebaik habis mengerjakan tujuh pusingan, dia yang ketika itu masih berada di depan Kaabah telah menerima panggilan dari pihak TH memaklumkan tentang berita kematian isterinya pada 8.15 malam yang disambutnya dengan reda.
“Dua jam sebelum itu, saya sempat pergi ke depan Kaabah membuat tawaf sunat dan doa bersungguh-sungguh untuk pengakhiran yang baik buat isteri.
“Selesai tawaf terakhir itu, saya tadah tangan memohon kepada Allah merupakan sebaik-baik perancang. Andai kata Allah pulihkan isteri saya itu alhamdulillah. Tetapi jika Allah lebih sayangkan isteri saya, Tanah Suci Makkah ini adalah sebaik-baik tempat untuk isteri saya. Ini doa saya depan Kaabah,” katanya yang kelihatan masih bersedih dengan kehilangan itu.
Seminggu sebelum itu katanya, dia bersama isteri berusia 37 tahun yang juga seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama, Kampung Pandan demam selepas selesai mengerjakan umrah kedua dan sejak itu keadaan kesihatan isterinya semakin merosot.
“Kami terus ke klinik maktab, namun atas nasihat doktor, dia terus dikejarkan ke Hospital King AbdulAziz. Ketika itu, isteri minta saya temankan dan saya duduk dalam ambulans yang membawa isteri ke hospital,” katanya kepada petugas media di hotel penginapannya baru-baru ini.
Bagaimanapun selepas itu, isterinya berada dalam keadaan tidak sedar dan pihak hospital telah melakukan imbasan untuk mengetahui keadaannya namun keesokannya dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa jantung Zuraida terhenti enam minit menyebabkan doktor terpaksa membuat pembedahan segera di bahagian otak.
Dia difahamkan kebiasannya pesakit akan sedar dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan itu, namun isterinya berterusan berada dalam keadaan koma selama enam hari.
“Sepanjang dia koma, saya sentiasa melawat dan baca doa supaya dia pulih. Tetapi bila doktor memaklumkan bacaan tekanan darah makin rendah dan ketika itu saya mula reda lebih-lebih lagi dimaklumkan bahawa isteri saya akan pergi pada bila-bila masa,” katanya.
Untuk bakti yang terakhir sebagai suami, dia sempat menghantar jenazah ke Masjidil Haram selepas dimandikan dan menunaikan solat jenazah di masjid berkenaan sebelum menyambutnya di liang lahad di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram untuk dikebumikan.
Mohd Azmil yang telah mendirikan rumahtangga selama 12 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun menyifatkan Allahyarham seorang isteri yang taat kepada suami serta guru yang baik.
Katanya, Zuraida sanggup mengajar anak muridnya sehingga lewat malam secara dalam talian menyebabkan dia amat disayangi sehingga ada yang menangis sebaik dimaklumkan mereka berdua akan berangkat menunaikan haji baru-baru ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta pengurusan tertinggi TH juga sempat menyantuni Mohd Azmil bersama empat lagi waris jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci dalam lawatan di Hotel Land Premium baru-baru ini. – BERNAMA