KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan migran melalui laluan haram menggunakan motosikal atau ‘geng rider’ tumpas dalam operasi khas di Kubang Kerian dan Lembah Sireh Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Ruslin Jusoh berkata, menerusi operasi yang dijalankan pada jam 5.20 pagi itu dua lelaki tempatan dan 33 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan.

Kesemuanya berumur di antara 20 hingga 50 tahun.

Menurut beliau, hasil risikan pasukan operasi menyerbu sebuah rumah transit dan berjaya menahan seramai empat lelaki warga Bangladesh.

“Turut ditahan adalah seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki warga negara India yang dijumpai berada dalam kereta transporter yang cuba melarikan diri.

“Susulan dari tangkapan ini, pasukan berjaya memperoleh maklumat mengenai pergerakan ‘transporter’ bermotosikal dipercayai cuba memindahkan PATI ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, seramai 19 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat bersama Unit Risik Sempadan Imigresen Negeri Kelantan digerakkan mengesan sekumpulan PATI yang dipercayai baru memasuki negara melalui pangkalan haram di sempadan.

Ruslin berkata, berikutan itu, pasukan operasi bergegas ke lokasi sasaran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang memboncengkan seorang lelaki warga Myanmar.

“Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri berjaya dihalang oleh anggota operasi dan kedua-dua motosikal disita untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar terminal dan berjaya menahan seramai 24 PATI terdiri dari 17 lelaki dan 7 wanita warga asing dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, sindiket tersebut dipercayai telah mengubah modus operandi dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar PATI dari rumah transit ke terminal bas ekspres.

“Taktik ini dipercayai untuk mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan serta mengelak dikesan pihak berkuasa. Kumpulan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada PATI untuk semua urusan berkaitan kemasukan mereka ke negara ini,” katanya.

Katanya, kesemua 33 PATI yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan enam lelaki warga Thailand, dua wanita dan lima lelaki warga Myanmar, 12 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India dan seorang wanita warga Indonesia.

“Kesemuanya ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Manakala dua orang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan semua kenderaan disita untuk siasatan lanjut,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here