KUANTAN – Kadar kes keracunan di asrama bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan mencatatkan penurunan pada tahun lalu
Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Zainal Abas berkata, sebanyak 146 kes dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 390 pada tahun 2022.
Manakala sejumlah 197 kes keracunan makanan pada tahun 2021, tahun 2020 (292 kes), tahun 2019 (516 kes) dan tahun 2018 (500 kes).
”KPM sangat prihatin terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid termasuklah murid yang tinggal di asrama sekolah.
”Pemakanan yang sihat dan selamat merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada kesejahteraan murid yang tinggal di asrama,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu pada Jumaat lalu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek dan Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, Zaiton Daud.
Pada majlis itu KPM katanya komited dalam melahirkan lebih 5,000,000 murid yang sihat dengan memastikan pengambilan nutrisi seimbang selain membimbing kecemerlangan akademik.
Sementara itu katanya Program Keselamatan Makanan (ProKEM) dilaksanakan dengan tujuan untuk menggariskan keperluan kebersihan dan keselamatan makanan dan mengelakkan kejadian keracunan makanan di dapur asrama sekolah.
ProKEM juga sebagai panduan kepada Pengusaha Dapur Makan Asrama (PDMA) dan institusi bagi mematuhi kehendak PPKM 2009 supaya selamat dan terjamin kebersihannya. ProKEM dilaksana oleh KPM mulai 1 Jan 2022.
“Melalui amalan pemakanan sihat kita telah mendedahkan sekolah-sekolah berasrama ini untuk melaksanakan ProKEM dalam aspek penyediaan makanan.
”Pemantauan dilakukan penyelia asrama contohnya apabila bahan mentah sampai perlu memastikan bahan mentah itu tidak berbau busuk, tidak rosak dagingnya, ikannya,” katanya.
Jelasnya, langkah tersebut bagi memastikan pelajar menikmati hidangan dengan ciri-ciri keselamatan yang baik dan memastikan pelajar mendapat kalori yang mencukupi seperti amalan pemakan sihat
Untuk rekod sebanyak 1,436 buah asrama sekolah harian dan 70 asrama penuh dalam negara di bawah KPM. – MalaysiaGazette