Suasana di Pelabuhan Barat yang merupakan antara 20 buah pelabuhan paling sibuk di dunia. Foto Arkib MG ole MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Walaupun Krisis Laut Merah telah menyebabkan kesesakan kontena di Pelabuhan Klang, tetapi keadaannya masih terkawal.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah berkata, Pelabuhan Klang masa ini masih mempunyai kemampuan dan ruang yang mencukupi untuk mengendalikan masalah yang timbul.

Katanya kepada Sinchew Daily, masalah yang berlaku juga adalah bersifat jangka pendek.

Jelasnya, kapal kargo yang mahu memastikan keselamatan telah melencong ke Tanjung Harapan.

“Disebabkan syarikat perkapalan perlu menyelaras laluan pelayaran, maka banyak kapal telah menurunkan kargo di tengah jalan,” katanya.

Ujarnya, masa menunggu di Westport adalah lebih panjang  manakala masa menunggu adalah lebih pendek di Northport.

Beliau berkata, Krisis Laut Merah juga menyebabkan kos pengangkutan bergolak, khususnya yang melibatkan kargo dari barat.

Sementara itu, Sinchew Daily juga melaporkan bahawa kesesakan di Pelabuhan Singapura telah mendorong sebahagian kapal beralih ke Pelabuhan Klang.

Difahamkan masa menunggu di Pelabuhan Singapura telah dipanjangkan kepada antara enam hingga lapan hari kebelakangan ini berbanding masa menunggu keadaan biasa yang kurang daripada 12 hingga 24 jam.

Kesesakan di Pelabuhan Klang dilaporkan berlaku kira-kira sejak dua minggu lalu.

Di Westport pula, masa menunggu semasa adalah antara 46 hingga 48 jam berbanding  kurang 24 jam sebelum ini.

Masa menunggu di Northport pula adalah kurang daripada lapan jam. – MalaysiaGazette