KUALA LUMPUR – Sebanyak 33,362 saman dikeluarkan Polis Kuala Lumpur sepanjang 11 hari pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya (Op HUU) di ibu negara bermula 4 Jun lalu sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sepanjang tempoh itu, halangan lalu lintas atau parkir secara salah adalah kesalahan utama yang dikesan.
Katanya, sebanyak 25,405 saman dikeluarkan untuk kesalahan halangan lalu lintas,; berhenti di laluan pejalan kaki (1,901); tiada lesen memandu (939), kesalahan nombor plat (431), dan cukai jalan tamat tempoh (585).
“Selain itu kesalahan tidak ikat topi keledar (88), tiada nombor pendaftaran (192), tiada cermin sisi (392), menggunakan telefon (186), tidak tampal P (220), lesen tamat tempoh (140), lampu brek tidak fungsi (23), ubahsuai kenderaan (51) dan tiada perlindungan insurans (47).
“Sebanyak 211 operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara antaranya Op Telefon Bimbit, Op Motosikal, Op Had Laju/Laser Speed Detector (LSD), Op Perdagangan dan Op Halangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarifudin berkata, seramai 374 pegawai kanan dan 4,236 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh operasi selain dibantu anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“JSPT Kuala Lumpur juga membuat 66 tangkapan dan turut menyita lima motosikal dan sebuah lori,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi trafik secara besar-besaran menerusi Op HUU di seluruh ibu kota, bermula 4 Jun sehingga 15 Jun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dilaporkan berkata, seramai 200 anggota ditugaskan setiap hari terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari jabatan dan daerah Polis Kontinjen Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette