Peserta ekspedisi pendakian Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara, Zainudin Lot ketika bertemu pengamal media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.

SEPANG – Peserta ekspedisi pendakian Gunung Denali, Alaska di Amerika Syarikat, Zainudin Lot, nekad merangkak meminta pertolongan dalam keadaan cuaca mencapai suhu -25 darjah Celcius selepas terperangkap ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada 28 Mei lepas.

Mengakui hampir berputus asa, Zainudin, 47, berkata dia dan rakannya Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, berada di tempat perlindungan buatan sendiri selama empat hari akibat cuaca buruk di kawasan itu.

“Arwah meninggal dunia pada hari kedua … kemudian hari seterusnya saya lihat ada helikopter berlegar tetapi tidak boleh mendarat, (kemudiaan) saya keluar lambai tangan dan guna sisa kekuatan yang ada untuk beritahu bahawa saya masih hidup.

“ … kali ketiga helikopter datang, saya kuatkan semangat merangkak keluar dari tempat perlindungan. Saya toleh dan nampak helikopter datang selamatkan saya,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zainudin mengakui insiden berkenaan memberikan kesan trauma dari segi mental berbanding fizikal kepada dirinya yang kini mengalami kecederaan di bahagian jari dan kaki.

“Ia beri kesan trauma dan kesan panjang. Syukur sangat ALLAH SWT bagi peluang bernyawa di muka bumi ini dan harapan saya agar terus sembuh dan sihat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menggantung beg aktiviti mendaki, Zainudin berkata insiden yang berlaku itu adalah satu ketentuan daripada ALLAH SWT, namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus melakukan aktiviti itu pada masa depan.

“Kita tahu risiko dan tahu apa minat kita. Kalau apa yang berlaku buat patah semangat, ia (sebenarnya, buat saya) lebih kuat. Saya bersyukur dapat balik jumpa mak, keluarga dan anak-anak. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.

Sementara itu, kakak sulungnya Rohana, 55, bersyukur adiknya itu selamat dan ia diibaratkan sebagai “mati hidup semula”.

“Dia memang seorang yang sukakan aktiviti lasak dan kami syukur dia selamat. Dia juga memang akan minta restu ibu kalau nak pergi mana-mana. Kepulangannya ini boleh dianggap sebagai hadiah Hari Raya Aidiladha, syukur dia balik sebelum hari perayaan,” katanya.

Ibu Zainudin, Hasidah Hamid, 73, berkata dia bersyukur anaknya selamat pulang ke tanah air selepas mengharungi insiden yang luar jangka.

“Sedih bila tahu dia terperangkap. Dia cuma suruh sabar … saya selalu doakan dia selamat dan alhamdulillah dia terselamat,” katanya.

Pada 1 Jun lepas, Kelab Alpine Malaysia (ACM) memaklumkan tiga pendaki dari Malaysia terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di gunung tertinggi di benua Amerika Utara, sejak 28 Mei ketika membuat pendakian.

Kelab berkenaan turut memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan) semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai football field. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast