GENEVA – Malaysia berhasrat untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, aspirasi Malaysia itu disampaikan dalam sesi perbincangan bersama sembilan pemimpin ASEAN di Geneva hari ini.

Menurutnya, penganjuran itu akan akan membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), serta jabatan dan agensinya seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

“Tahun Kemahiran ASEAN bakal menjadi usaha yang tepat memandangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan yang akan memfokuskan kepada meningkatkan integrasi serantau dengan memupuk perdagangan yang lancar, kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, dan rantau yang lebih saling berhubung.

“Ia juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan, dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan. Ini akan dilakukan dengan tumpuan khusus pada bidang yang sedang meningkat naik seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi semikonduktor,” katanya.

Perjumpaan ini adalah sebahagian daripada lawatan empat hari Steven Sim ke Geneva yang merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO, penyampaian ucapan oleh Menteri pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 serta lawatan bersama rakan kongsi dan orang kenamaan antarabangsa.

 

Bercakap pada sesi tersebut, Steven Sim berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia, KESUMA komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif, dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.

Jelasnya, aspirasi ini dapat dicapai menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.

“Saya yakin, melalui program-program yang telah dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami. Selain itu, kami juga dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Srinivas Reddy, yang turut hadir pada perbincangan tersebut percaya  inisiatif ini akan memberikan impak positif kepada rantau ini.

“Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyatn Malaysia, di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusianya. Saya yakin bahawa ia akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan, selaras dengan kedudukannya mempengerusikan ASEAN,” ujarnya yang turut berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kemahiran Eropah pada 2023 dan 2024 serta kesan positif inisiatif tersebut kepada kerajaan, perniagaan dan bakat di seluruh rantau berkenaan.

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara termasuk National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.

Pada 2024 dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here