umrah pilgrims unvaccinated Covid-19 vaccine Omicron Saudi Arabia SAFTTA
Gambar hiasan

SHARJAH (Emiriah Arab Bersatu) – Menjelang Aidiladha yang bakal tiba, Jabatan Hal Ehwal Islam di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan peruntukan 640 musalla dan masjid bagi melaksanakan solat Aidiladha.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada dedikasi mereka untuk menghidupkan sunnah Nabi Muhammad, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Rancangan komprehensif ini merangkumi kawasan solat yang ditetapkan dan dataran awam, memastikan semua jemaah mempunyai akses kepada kemudahan yang sesuai.

Jabatan itu bekerjasama rapat dengan Polis Sharjah, Majlis Perbandaran dan pihak berkuasa yang berkaitan demi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang sambutan Aidiladha.

Beberapa musolla dan masjid akan menawarkan perkhidmatan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk Urdu, Malayalam, Tamil dan Inggeris.

Usaha ini bagi memastikan bahawa mereka yang tidak berbahasa Arab dapat turut serta dalam solat dan khutbah.

Masjid Imam Ahmed bin Hanbal di Al Jazzat akan menyediakan terjemahan segera khutbah Aidiladha ke dalam bahasa isyarat, membolehkan mereka yang mengalami masalah pendengaran untuk memahami teks yang disampaikan.

Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Islam di Sharjah, Abdullah Khalifa Yaroof Al Suboosi berkata misi jabatan itu untuk memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi para jemaah.

Pasukan khas telah membuat persiapan bagi penyediaan ruang solat, termasuk pemasangan sistem bunyi dan penghawa dingin untuk memastikan keselesaan jemaah yang dijangka ramai.

Selain menyediakan tapak solat, jabatan itu turut menganjurkan siri program pendidikan di masjid-masjid sepanjang sepuluh hari pertama Zulhijjah.

Syarahan dan ceramah ini akan merangkumi kelebihan amalan, hukum dan syarat korban serta Sunnah Aidiladha, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman agama dalam kalangan komuniti termasuk ekspatriat. – BERNAMA-WAM

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here