Norena Jaafar

MELAKA – Sebanyak tiga buah syarikat yang menerima kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikesan cuba menaikan kadar perkhidmatan dua minggu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, tangkapan dibuat susulan pemeriksaan terhadap 41 syarikat pengangkutan dalam Ops Kesan 2.0 sejak 1 Jun lalu.

Menurutnya, ia menjadikan Melaka adalah negeri pertama berjaya menghasilkan kes elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Hasil pemeriksaan, ketiga-tiga syarikat ini cuba menaikkan harga perkhidmatan mereka daripada 41 syarikat pengangkutan di Melaka yang mendapat skim SKDS.

“Ketiga-tiga syarikat di sekitar daerah Melaka Tengah itu akan dituduh di Kompleks Mahkamah Melaka, minggu depan,” katanya ketika ditemui media selepas selepas pemeriksaan Ops Kesan 2.0, di Pasar Bachang, di sini hari ini.

Norena ketika melakukan pemeriksaan Ops Kesan 2.0, di Pasar Bachang, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Norena berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dengan lebih intensif bagi mengekang perbuatan menaikkan harga sesuka hati walaupun menerima kad fleet.

“Dalam Ops Kesan 1.0 dan 2.0, setiap hari lima pasukan penguat kuasa akan memeriksa mana-mana syarikat yang berdaftar di bawah SKDS untuk melihat sama ada berlaku kenaikan harga sebelum dan selepas menyertai sistem berkenaan.

“Jika ada kenaikan tanpa sebab munasabah, kita akan beri notis sebab kenaikan dan sekiranya tiada maklum balas kes akan dibawa ke peringkat perundangan,” tegasnya.

Jelas beliau, orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang berasaskan skim SKDS boleh menyalurkan maklumat melalui talian 012-6654292.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula 10 Jun lalu dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Bagi mengimbangi kesan kenaikan itu, kerajaan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui SKDS 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik. – MalaysiaGazette