Kamalludin Ismail melakukan pemeriksaan dan advokasi Ops Kesan 2.0 serta pemantauan bekalan barang keperluan sempena hari raya haji di sekitar Ipoh.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengeluarkan 31 Notis Bertulis (NB) kepada syarikat pengangkutan, makanan dan bahan binaan melalui Op Kesan 2.0dalam tempoh seminggu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, kesemua notis tersebut dikeluarkan  di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

Menurutnya, kesemua 31 notis itu dikeluarkan kepada 23 syarikat pengangkutan, dua syarikat dalam sektor pembinaan manakala enam syarikat bidang makanan dan minuman di seluruh Perak.

“Daripada 31 syarikat ini kita ada menerima tiga aduan daripada orang ramai dan kesemua syarikat yang dikenal pasti ini telah diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

“Tiga syarikat daripada aduan orang ramai ini melibatkan dua syarikat sektor makanan dan minuman masing-masing di Teluk Intan dan lpoh manakala satu syarikat bagi sektor pengangkutan di Taiping,” katanya dalam sidang media selepas  pemeriksaan Ops Kesan 2.0 Perak di Pasar Tani Stadium Perakhari ini.

Kamalludin berkata, notis itu dikeluarkan bagi memastikan peningkatan harga dan caj yang berlaku mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“KPDN Perak dengan kekuatan 164 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN termasuk 74 pegawai pemantau harga akan terus melaksanakan pemantauan OP Kesan 2.0 supaya tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan ekoran penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya

Katanya, jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat manakala denda sehingga  RM100,000 bagi individu selain dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA