Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
KUALA LUMPUR – Umat Islam menyambut Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam keadaan banyak mengorbankan Islam berbanding berkorban untuk dirinya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam juga masih lagi menjadi korban kekejaman, penghinaan dan kebiadaban musuh Islam lantaran jiwa kita yang sudah semakin jauh daripada konsep pengorbanan yang dituntut oleh Allah SWT.
“Aidiladha bukan hanya memaparkan kisah penyembelihan Nabi Allah Ismail AS yang digantikan dengan seekor kibash (kambing) tetapi mengajar kita erti keikhlasan dan redha dengan ketetapan Allah dan RasulNya.
“Aidiladha mencatatkan detik kegembiraan Nabi Allah Ibrahim AS dan keluarganya selepas mereka berjaya melalui ujian Allah yang sangat getir dan mencengkam jiwa nurani manusia biasa,” tulis dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Abdul Hadi menambah, umat Islam berkongsi kegembiraan itu dengan meraikan Hari Raya Aidiladha di seluruh dunia dengan mengorbankan binatang dalam keadaan gelak dan tawa.
Sedangkan hakikatnya Nabi Allah Ibrahim AS pernah melakukannya dengan titisan air mata.
“Perintah Allah yang Maha Esa tetap dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan redha terhadap ketentuanNya.
“Kegembiraan Nabi Allah Ibrahim sekeluarga sangatlah bermakna dan besar kerana mereka berjaya melepasi ujian yang amat besar dalam berkorban untuk Allah SWT.
“Kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS bukanlah mengajar kita erti pengorbanan biasa. Pengorbanan mereka bukan kerana sesuatu matlamat yang tersirat tetapi hanya semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette