Suspek berusia 40 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tikam leher ibunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pengawal keselamatan yang bertindak menikam leher ibunya hingga maut dengan menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau di sini, semalam, direman selama tujuh hari.

Perintah reman bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting terhadap suspek berusia 40 tahun selepas permohonan pihak polis di Mahkamah Balik Pulau dekat sini.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek mengalami kemurungan selepas bercerai dengan isterinya ketika pandemik Covid-19 melanda negara pada 2021.

Selain itu, mangsa berusia 67 tahun yang merupakan ibu kepada tiga anak itu sebelum ini sering memaklumkan suspek mempunyai masalah mental kepada dua anaknya.

Susulan itu, abang sulung suspek membawanya menerima rawatan selain dia pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, tahun lalu.

Terbaru, suspek dibawa untuk berjumpa dengan doktor pada 14 Jun lalu dan ubat yang diambil ketika itu turut dirampas polis semalam untuk mendapatkan pengesahan jenis ubat.

Bagaimanapun, sehingga kini motif mangsa dibunuh masih belum dikenal pasti susulan hanya mereka berdua berada di rumah ketika kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN

Anak punyai masalah mental disyaki bunuh ibu guna gunting

MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental di sebuah pangsapuri di Relau di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek yang juga anak bongsu itu dikatakan menelefon dan memaklumkan sendiri kejadian kepada abangnya kira-kira jam 5 petang, sebelum lelaki itu menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, susulan itu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan memberkas suspek berusia 40 tahun di unit kediaman terbabit. – MalaysiaGazette