Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tiada keperluan untuk mewujudkan Duta Online kerana boleh mengakibatkan jentera media sosial kerajaan boleh carca marba dan bertindih.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, apa yang dibimbanginya ialah Duta Online KPKT akan jadi alat cyber trooper untuk mempertahankan menteri atau dasar kementerian yang tidak popular.

“Bila terlalu banyak cybertrooper di bawah J-Kom, Komuniti Madani (Penerangan) dan Duta Online yang tidak selaras, rakyat akan dapat maklumat mengelirukan,” katanya di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang menubuhkan pasukan “Duta Online” untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Kor Ming berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat.

Sseramai 200 kakitangan KPKT telah dipilih sebagai Duta Online berkenaan, katanya.

Mengulas lanjut, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor berkata, adalah lebih baik kerajaan memantapkan jentera J-Kom sedia ada.

“Jangan bagi rakyat pening kepala seperti yang didakwa oleh Wee Ka Siong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette