HARI Arafah merupakan hari yang penting bagi umat Islam yang sedang menunaikan ibadat haji kerana pada 9 Zulhijjah, jemaah haji berwukuf di Arafah. Arafah adalah nama sebuah bukit atau dataran tinggi yang terletak sekitar 25 kilometer dari Makkah. Nama ini diberikan kerana di situ Adam dan Hawa bertemu kembali setelah diturunkan dari syurga.
Ada juga yang mengatakan ia dinamakan Arafah kerana ketinggiannya, berasal dari perkataan al-A‘raf yang bermaksud puncak gunung. Antara kelebihan dan kistimewaan hari Arafah ialah:
Pertama: Hari Arafah merupakan rukun haji
Hari Arafah penting kerana ia merupakan salah satu rukun haji. Dr. Muhammad al-Zuhaili
menyatakan berwuquf di Arafah merupakan rukun haji yang paling penting,
sehingga haji seolah-olah dilihat hanya berkisar kepada Arafah.
Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya‘mur al-Diyali yang menceritakan bahawa orang ramai dari Najd datang bertemu Rasulullah SAW ketika Baginda berada di Arafah, lalu mereka bertanya kepadanya. Maka, Baginda memerintahkan seseorang untuk menyeru: “Haji adalah ‘Arafah. Sesiapa yang datang di ‘Arafah pada hari Nahr malam sebelum fajar terbit, maka dia dikira melakukan haji.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kedua: Hari penyempurnaan agama
اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah: 3).
Al-Sa‘di, dalam tafsirannya mengenai ayat 3 surah al-Ma’idah, menjelaskan bahawa hari
yang disebut dalam ayat tersebut merujuk kepada Hari Arafah. Pada hari itu, Allah SWT
telah menyempurnakan agama-Nya, memberikan pertolongan kepada hamba dan rasul-
Nya. Manakala orang-orang musyrik telah dikalahkan dengan sangat teruk selepas mereka berusaha keras untuk memalingkan orang-orang beriman dari agama mereka.
Ketiga: Hari raya untuk umat Islam
Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hari ‘Arafah, hari Nahr
dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) ialah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)
Sebab itu mereka yang sedang menunaikan ibadah haji, tidak disyariatkan untuk berpuasa pada hari Arafah kerana hari Arafah merupakan hari raya pertama bagi mereka dan tempat berhimpun terbesar, di mana mereka melaksanakan ibadah wukuf. Rasulullah SAW sendiri tidak berpuasa pada hari Arafah dan hal ini diamati oleh banyak orang.
Keempat: Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa
Bagi mereka yang tidak menjalani ibadat haji, disarankan untuk berpuasa pada hari Arafah. Daripada Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW telah ditanya berkenaan puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Riwayat Muslim)
Kelima: Hari yang digalakkan untuk memperbanyakkan doa
Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling berkesan dan di situ juga Nabi Muhammad
SAW menghabiskan waktu yang lama untuk berdoa. Menurut sumber, ada juga pandangan lain yang mengaitkan ibadah wukuf dengan wahyu yang diterima oleh Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Keenam: Hari pengampunan dosa dan pelepasan azab api neraka
Hari Arafah juga terkenal sebagai hari pelepasan dari azab api neraka kerana pada ketika itu pintu keampunan oleh Allah terbuka luas. Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari ‘Arafah.” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, hari Arafah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang harus
direbut oleh umat islam. Jika tidak merebut peluang ini, kita akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi kerana telah mensia-siakan kelebihan yang diberi.